Oleh: Atikah Ghazali
PENGENALAN
Seperti yang kita maklum pada zaman sekarang di merata dunia hidup di dalam kehinaan. Kita hidup berpecah belah dan mundur di dalam segala lapangan. Contohnya apa yang berlaku kepada umat islam di Bosnia-Herzegovina, Palestin dan Iraq merupakan salah satu penindasan. Di kalangan masyarakat setempat, fenomena perpecahan ukhwah di kalangan jiran, saudara mara dan teman sekampung yang terjadi dimana-mana mahupun berlaku di negara ini. Seperti yang terjadi sekarang, hanya kerana perebutan harta persaudaraan hancur di kalangan keluarga dan sanak saudara. Segelintir masyarakat kita lebih rela memutuskan ikatan persaudaraan walaupun dengan ahli keluarga sendiri daripada menjaga perhubungan ukhwah ini. Walhal jika dinilai di sudut Islam, harta yang berlebihan di dunia tidak di manfaatkan pada jalan Allah akan menjadi beban di Akhirat kelak. Ada juga sesetengah umat Islam sanggup memutuskan tali silaturrahim dengan sahabat dan jiran tetangga kerana perbezaan pendapat sebagai contoh sperti berlainan fahaman politik.
Di antara punca utama berlakunya hal ini adalah kerana manusia sudah tidak berpegang teguh dengan agama Allah, lemah iman dan hati penuh dengan sifat-sifat yang terkeji. Umat Islam hendaklah membina iman yang kuat dalam diri setiap individu dan memupuk rasa persaudaraan yang kuat dengan sesama Muslim. Masyarakat yang bersatu padu, musuh tidak mudah untuk memperkotak-katikkan mereka. Bahkan menyebabkan orang-orang bukan Islam tertarik kepada keindahan Islam dan ingin turut sama bernaung di bawah kesatuan umat Islam. Antara salah satu cara untuk menngembalikan kekuatan perpaduan sesama umat Islam ialah dengan menghayati semua konsep persaudaraan, persahabatan dan kejiranan sebagaimana yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi. Terdapat adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam demi memelihara hubungan persahabatan dan kejiranan.
Persahabatan merupakan faktor utama yang boleh membawa manusia ke syurga. Bukan mudah untuk kita membentuk persahabatan dalam ertikata sebenar menurut perspektif Islam. Ia mesti dimulai dengan hati yang baik akan mencetuskan pergaulan yang mesra, bertolak ansur, bertolong bantu sesama manusia. Dengan ini timbulnya rasa kasih sayang sesama manusia. Semoga dengan ini akan lahir sebuah masyarakat Islam yang harmoni dan bersatu padu. Perpaduan umat ini akan digunakan untuk bergabung tenaga untuk membangunkan masyarakat setempat dan mencetuskan sebuah tamdun yang lebih global.
BAHAGIAN 1:ADAB BERJIRAN
Manusia sekarang sudah lupa bahawa disekeliling mereka ada manusia lain yang hidup dan berkeluarga seperti mereka. Itulah jiran tetangga. Jiran mempunyai hak ke atas kita dan kita juga mempunyai hak yang mesti diperlihara oleh jiran. Semakin erat dan mesra hubungan kita dengan jiran semakin kuatlah hubungan kasih sayang. Kita akan merasai hidup sebagai satu keluarga walaupun tiada pertalian darah. Hubungan baik dengan jiran juga mewujudkan rasa bersama dan kerjasama. Jika mereka senang, bahagialah kita.
Ada juga timbul masyarakat kita hari ini mempunyai sikap berlumba-lumba dalam mengumpulkan harta benda. Kalau boleh kita mahu lebih daripada jiran kita. Punca berlaku hal sedemikian adalah disebabkan pengabaian hak jiran. Islam menyuruh kita melakukan sebanyak-banyak kebaikan kepada jiran. Bahkan jika kita memasak masakan yang berbau kita diwajibkan memberi kepada jiran. Selain itu jika membawa pulang buah-buahan hendaklah kita memberi kepada anak-anak jiran untuk menjaga hati orang yang tidak berkemampuan dalam hidup. Dengan mengamalkan cara hidup Islam, kita dapat merasakan kedamaian jiwa, mampu bersabar dan tolak ansur dengan jiran dan suka bantu-membantu.
Jiran tetangga-ialah semua orang yang tinggal berdekatan dengan kita samada kanan, kiri, depan, belakang, atas dan bawah dihitung hingga 40 rumah dari setiap penjuru.
Asal pengertian jiran tetangga ini diambil daripada sebuah hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ath-Tabrani daripada Ka’ab bin Malik r. a. , katanya:
“Telah mendatangi Rasulullah saw seorang lelaki, seraya berkata:Wahai Rasulullah!Saya tinggal di kampong suku fulan, dan sesungguhnya orang yang paling membuat aniaya kepadaku, ialah orang yang paling hampir bertetangga denganku. Mendengar itu, Rasullulah saw pun mengutus Abu Bakar, Umar dan Ali r. a supay segera mendatangi masjid, dan berdiri di pintunya, seraya menyeru dengan suara keras:Ingatlah, bahawa 40 rumah (di sekitar)kamu adalah tetangga, dan tiada akan masuk syurga orang yang tetangganya takut akan kecelakaannya. ”
Hak-hak jiran.
Hak-hak jiran ada empat perkara:
1) Jangan sampai ada orang yang melakukan penganiayaan kepadanya.
Penganiayaan terhadap jiran ada berbagai bentuk di antaranya seperti berzina dengan jiran, mencuri harta bendanya, mengata-ngata hal peribadi jiran, memaki hamun jiran dan membuang sampah di kawasan rumahnya. Menganiaya jiran dengan tangan seperti memukul jiran atau binatang ternakannya dan merosakkan harta benda jiran adalah perbuatan yang tidak baik. Selain itu, penganiayaan lisan seperti memaki hamun, mencaci, menghina, mengumpat diri atau harta benda adalah perbuatan yang dicela. Kita juga disuruh menjaga mata dari melihat aurat jiran. Islam melarang menyakiti jiran tetangga dengan memandangnya dengan pandangan yang rendah.
Berkata Hasan bin Tsabit ra:
“Harus dipelihara setiap yang mulia dari umat.
Tiada siapa antara kita sanggup membahayakan jirannya.
Atau menimbulkan kemarahannya, padahal jiran itu di tepi matanya.
Kerana kami memandang hak kejiranan itu sebagai amanat. ”
2) Melindunginya daripada sesiapa yang berniat tidak baik
terhadapnya.
Jiran yang baik akan melindungi tetangganya dari sebarang penganiayaan sebagai tanda kemuliaan hatinya. Kita berkewajipan mengambil berat terhadap kesusahan tetangga, menyelamatkannya dari bahaya yang menimpa atau bala yang sedang dideritainya.
Berkata Hasan bin Nasyiah:
“Mereka tidak sekali-kali menyerahkan jiran mereka kepada musuh.
Debu-debu maut sedang bergelora hingga menutup udara. ”
3) Berbuat baik kepada jiran.
Kita juga disuruh membuat perkara-perkara baik yang lain seperti menyampaikan takziah ketika ada kematian, menggembirakannya ketika adaa kemeriahan, menziarahi ketika dia sakit, memulakan memberi salam, menggalakkan dia membuat kebaikan untuk dirinya, mengajar, menasihati dalam segala urusan agama dan dunianya.
Hak kejiranan mesti kita tunaikan bila:
a) dia memohon bantuan.
b) memerluakan pinjaman atau sesuatu benda seperti api, garam, air, perkakas rumah dan keperluan rumah.
c) Menziarahi ketika sakkit dan kematian.
d) Menyampaikan takziah bila ditimpa musibah.
e) Jangan meninggikan rumah sehingga menghalang sistem perudaraan di rumah jiran.
f) Jangan mengganggu dengan masakan yang berbau melainkan memberi kepada jiran sedikit daripadanya.
g) Bila membeli buah-buahan beri kepada mereka beberapa biji. Jika tidak mahu memberinya bungkuslah buah tersebut dan laranglah anak makan di luar rumah untuk mengelakkan anak-anak jiran terliur apabila melihat.
Ada tiga kategori jiran tetangga:
a) tetangga musyrik-mempunyai satu hak.
b) Tetangga Muslim-mempunyai dua hak sebagai hak jiran dan seorang Islam
c) Tetangga Muslim yang ada hubungan kekeluargaan mempunyai tiga hak yang mesti kita tunaikan iaitu hak jiran, Islam dan sebagai saudara kita.
4) Membalas segala kesalahannya dengan santun dan maaf.
Banyak kelebihan jika kita mampu memaafkan segala kesalahan jiran, menutup mata dari segala kesalahan jiran, menutup mata dari segala keterlanjurannya, berlapang dada dan melupakan terutamanya kesalahan yang berlaku tanpa sengaja. Kalau kita hendak mencari kesalahan orang, tentulah banyak kesalahan yang akan dapati. Tetapi orang yang baik akan sentiasa meletakkan kesalahan atas dirinya sendiri tidak mencari-cari kesalahan orang terhadapnya. Akhlak mulia yang tunjukkan kepada jiran ada kalanya boleh mengubah sikapnya yang tidak baik kepada peribadi yang baik.
Hak yang boleh dilakukan untuk menyempurkan hak jiran terhadap jiran kita. Di antaranya:
a) hendaklah anda memulakan memberi salam kepadanya.
b) Jangan terlampau banyak menanyakan tentang hal-ehwal peribadinya yang kurang disenangi.
c) Menziarahi bila sakit dan melawati bila dia meninggal dunia, serta mengiringi jenazah ke kubur.
d) Merasakan kesusahan jiran adalah kesusahan diri kita juga. Dan merasa gembira atas kegembiraannya.
e) Memaafkan segala kesalahan dan kekhilafannya.
f) Tidak melihat ke dalam rumahnya sehingga boleh terlihat auratnya.
g) Tidak mengganggu perasaannya, umpamanya dengan meletakkan sebatang kayu pada dinding rumahnya.
h) Tiada menyempitkan laluan menuju ke rumahnya.
i) Tiada melihat kepada apa-apa yang dibawanya ke dalam rumah.
j) Hendaklah menutup segala keaiban dan kecelaan yang ada padanya.
k) Meringankan dirinya dari menanggung malapetaka yang menimpa.
l) Jangan lalai memerhatikan rumahnya di masa-masa ia tiada di rumah.
m) Jangan terpedaya dengan kata-kata orang terhadapnya.
n) Palingkan pandangan anda dari melihat isteri atau suaminya. Jangan memandang lama-lama kepada pekerja atau orang gaji yang bekerja di rumahnya.
o) Selalu bersikap lemah-lembut terhadap anak-anaknya dengan ucapan yang baik-baik.
p) Bersedia memberi bimbingan kepadanya terhadap apa-apa perkara yang dia ketahui, samada di sudut keagamaan atau duniawi.
BAHAGIAN 2:ADAB BERSAHABAT.
A. Definisi:
Sahabat mempunyai ciri-ciri dan peribadi yang istimewa. Ada hadis menyebutkan:
“Sebaik-baik sahabat itu, orang yang tidak berubah-rubah, meskipun zaman terus berubah-rubah. Sahabat yang baik itu lebih baik dari dirimu, kerana nafsumu itu mengajak kepada kejahatan, sedang sahabat yang baik itu tidak ia menyuruh melainkan kebaikan. ”
Sahabat yang baik lahir dari ikatan kasih sayang. Hadis Nabi SAW:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi orang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri”
Buah kasih sayang adalah ulfah atau kasih mesra. Inilah yang menjadikan hubungan persahabatan itu sangat erat. Sehingga ia dapat merasakan susah senang sahabat adalah kesusahan dan kesenangannya. Masalah sahabat adalah masalahnya. Tawa sahabat adalah keriangannya. Duka sahabat adalah kesedihannya juga. Hadis Nabi SAW:
“Kasih sayang orang Mukmin itu ibarat satu badan. Yang mana kalau satu anggota badan sakit, maka anggota yang lain turut sakit hingga terpaksa berjaga malam. ”
B. Bersahabat kerana Allah.
Persahabatan kerana Allah adalah persahabatan menuju jalan-jalan Allah demi mencari keredhaanNya dalam bersahabat. Kasih sayang antara seorang itu dengan seorang yang lain, ada hubungannya dengan cintannya kepada Allah. Kalau kasih sayang itu kuat pada Allah, kuat pulalah kasih sayangnya dengan sahabatnya.
Orang yang tidak cinta pada Allah tidak suka kepada peraturan-Nya, tidak suka untuk taat kepada perintah Allah. Orang yang tidak suka hidupnya diatur oleh Allah, bagaimana untuk mentaati perintah berlaku baik sesama manusia.
Bersabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya berhaklah seseorang itu mendapat kasih sayang Aku, mereka yang ziarah menziarahi antara satu sama lain kerana Aku. Dan berhaklah mendapat kasih sayang Aku mereka yang berkasih sayang kerana Aku. Dan berhaklah mendapat kasih sayang Aku mereka yang berkorban kerana Aku. Dan berhaklah mendapat kasih sayang aku mereka yang bertolong Bantu kerana Aku. ”
Daripada maksud hadis diatas dapat disimpulkan bahawa golongan yang berhak mendapat kasih sayang Allah ialah:
1) Ziarah menziarahi kerana Allah.
Berziarah kerana Allah akan mendapat hasil baik. Lebih-lebih lagi kalau ziarah itu di penuhi dengan perbincangan untuk membangunkan agama Allah, bagaimana hendak menghapuskan maksiat dan sebagainya. Ziarah yang bukan berdasarkan kerana Allah akan mencetuskan permusuhan, pergaduhan, krisis dan suasana kacau bilau.
2) Berkasih sayang kerana Allah.
Berkasih sayang kerana Allah tidak diseliti oleh kepentingan peribadi. Sahabat yang boleh berkasih sayang ini ada kaitannya dengan persoalan iman yang ia milikidan amalannya. Kekuatan imannya mendorong ia berkasih sayang. Kerana iman dan kesolehannya dalam beramallah yang menyebabkan ia berkasih sayang kerana Allah. Dua orang sahabat yang berkasih sayang kerana Allah, layaklah ia mendapat kasih-Nya yang hakiki.
3) Berkorban kerana Allah.
Berkorban boleh dalam berbagai bentuk seperti tenaga, wang ringgit, masa dan akal fikiran untuk Allah. Dalam konteks persahabatan, jika seseorang itu mampu korbankan apa saja yang ia ada untuk kepentingan orang lain tanpa mengharapkan balasan, berhaklah ia mendapat kasih sayang Allah.
4) Bertolong Bantu kerana Allah.
Allah suak hamba-Nya buat kebaikan dan murka kalau hamba-Nya melakukan kejahatan.
Oleh itu kita hendaklah bertolong Bantu dalam perkara-perkara kebaikan. Firman Allah bermaksud:
“Hendaklah kamu bertolong bantu dalam membangunkan kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu bertolong bantu dalam membangunkan permusuhan dan kedosaan. ”
Kita bersahabat kerana mencari kawan yang boleh untuk kita bertukar fikiran, pandangan, melahirkan rasa hati serta membantu di waktu kita memerlukan bantuan orang lain. Dalam kehidupan bermasyarakat, sikap bertolong bantu kerana Allah ini boleh mengwujudkan suasana bekerjasama yang baik.
Kepentingan memilih sahabat yang baik.
Hadis Rasulullah saw:
Barangsiapa yang Allah kehendaki seseorang itu menjadi orang baik, Allah beri rezeki seorang sahabat atau seorang teman yang soleh(yang baik). Jika dia lupa sahabatnya mengingatkannya dan jika dia ingat sahabatnya membantunya.
Kalau kita tidak cerdik dalm pergaulan ditambah dengan kurang keyakinan pada diri sendiri menyebabkan kita mudah terpengaruh dengan perangai teman-teman yang berada di sekeliling.
“Pelihara dirimu daripada teman yang jahat, kerana sesungguhnya anda akan di kenal orang sepertinya. ”
-Riwayat Ibnu Asakir
Memilih sahabat yang baik itu penting. Ia menentukan kehidupan dunia dan akhirat kita. Persahabatan yang terjalin di dunia akan di nilai oleh Allah diakhirat kelak.
Hak-hak persahabatan
A) Memberi salam ketika bertemu.
Salam adalah penghubung tali silaturahim. Salam boleh diberi kepada orang yang kita kenal dan kita tidak kenal. Lebih-lebih lagi sesama sahabat.
Seorang lelaki bertanya kepada Rasullulah saw:
“Islam yang bagaimana yang paling baik sekali?Jawab baginda: Hendaklah engkau memberi makan, dan memberi salam (keamanan) kepada siapa yang engkau kenal dan yang engkau tidak kenal. ”
Sabda Rasullulah saw:
“Kamu tidak akan memasuki syurga, sehingga kamu beriman. Dan kamu tiada beriman, sehingga kamu kasih mengasihi. Mahukah kamu, aku tunjukkan kepada suatu perkara, jika kamu membuatnya nescaya kamu akan kasih-mengasihi?Sebarkan salam antara sesama kamu!”
-Riwayat Al Bukhari dan
Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al Ash r. a.
Ucapan salam memang boleh menyuburkan kasih sayang sekali pun kepada orang yang tidak kita kenali. Dengan ucapan salm kita terasa bahawa kita ini adalah saudara seagama sekalipun kita cuai tentang syariat Tuhan.
B) Menziarahi ketika sakit.
Jika sahabat kita sakit, hendaklah ziarahinya. Penuhi keperluannya ketika dia sakit. Hulurkan apa sahaja bantuan di ketika ia tidak berdaya terbaring sakit.
Sabda Rasulullah saw:
“Ziarahlah orang yang sakit, beri makan orang yang lapar, dan bebaskan orang yang susah!”
-Riwayat Al Bukhari daripada Abu Musa r. a.
C) Mengucap Rahmat ketika bersin
Hadis Rasulullah saw:
“Apabila seseorang kamu bersin, hendaklah dia berkata: Alhamdulillah. Manakala saudaranya atau temannya hendaklah menyambut dengan berkata: “Yarhamukallaahu! (Allah merahmatimu). Apabila diucapkan: Yarhamukallaahu, maka hendaklah dia menjawab dengan: Yahdiikumullaahu, wyushlihu baalakum! (Allah memberimu hidayat dan memperbaiki keadaanmu. ”)
-Riwayat Al Bukhari daripada Abu Hurairah.
D) Menziarahi di rumah kerana Allah.
Menziarahi sahabat di rumahnya adalah kewajipan kita terutama sahabat yang sudah lama tidak di temui. Sahabat yang baik tidak menunggu sahabatnya meminta diziarahi baru hendak menziarah sahabat.
Hadis Rasulullah saw:
“Barangsiapa yang menziarahi seorang pesakit, ataupun menziarahi seorang teman kerana Allah, akan berteriak suatu suara: Moga-moga engkau menjadi baik, dan baik pula langkahmu, dan engkau telah memperoleh sebuah rumah di dalam syurga. ”
-Riwayat Ibnu Majah dan At Termizi
daripada Abu Hurairah r. a.
E) Membantu di waktu susah.
Tidak rugi apabila kita membantu sahabat kerana semuanya dalam nilaian Allah. Sekali kita melepaskan kesusahan sahabat, Allah akan lepaskan satu kesusahan di hari kiamat Kelak.
F) Menerima undangan jika diundang.
Kita wajib menerima undangan sahabat jika tiada halangan yang syariie yang bermaksud tidak bertentangan dengan syariat.
G) Memberi ucapan tahniah.
Memberi ucapan tahniah bererti kita turut rasa gembira di atas kegembiraan orang lain. Apabila seseorang di antara mereka di timpa kesusahan, maka semuanya akan bersedih hati. Tetapi bila salah seorang dari mereka menerima berita gembira, mereka diraikan dengan mengucapkan ucapan tahniah.
BAHAGIAN 3:ADAB BERTAMU DAN BERZIARAH.
Islam menggariskan beberapa adab yang mesti penuhi ketika bertamu dan berziarah ke rumah orang. Diantara adab-adab itu:
A) Memberi salam dan meminta izin untuk bertamu.
Seorang lelaki dari Bani Amir meminta izin untuk bertemu Nabi SAW. Baginda berkata kepada pembantunya:“Pergilah kepada orang di luar itu, dan ajarkannya cara meminta izin, dan katakan kepadanya: Ucapkanlah: Assalamualaikum!Boleh tak saya masuk?” -Riwayat Abu Daud
B) Meminta izin sebanyak tiga kali.
Sabda Rasulullah SAW:“Meminta izin itu tiga kali saja, jika di izinkan untukmu baiklah, kalau tidak hendaklah engkau kembali saja. ” -Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa Al Asya’ari r. a
C) Menyatakan nama, sifat atau gelaran
Hadis Isra’ dari riwayat Bukhari dan Muslim, telah bersabda Rasulullah SAW:
“Kenudian Jibril pun naik ke langit dunia seraya mengetuk pintunya. Di Tanya kepadanya, siapa ini? Jawabnya:Jibril. Ditanya lagi: Siapa bersamamu? Jawabnya: Muhammad. . Kemudian JIbril naik ke langit kedua, ketiga dan seterusnya, dan pada tiap-tiap pintu langit itu Jibril ditanya soalan yang sama. ”
D) Membawa buah tangan
Dengan cara ini dapat menggembirakan hati tuan rumah dan tidak menyusahkan tuan rumah melayan makan dan minum kita,
E) Jangan bertamu terlalu lama hingga menyusahkan tuan rumah.
Bertamu paling lama adalah tiga hari. Selepas 3 hari kita tidak di kira sebagai tetamu lagi. Kita mesti menguruskan sendiri keperluan kita semasa di rumah yang kita ziarahi.
E) Kita hendaklah menghiburkan hati tuan rumah dengan kata-kata penghargaan.
BAHAGIAN 4:ADAB MENERIMA TETAMU
Muliakan tetamu.
A) Sabda Rasullulah SAW:
“Apabila tetamu telah masuk ke rumah seseorang, maka ia masuk dengan membawa rezekinya, dan jika ia keluar membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu. ” -Riwayat Ad Dailami
B) Abu Qursyafah berkata:
“Jika Allah mengkehendaki kebaikan terhadap seseorang maka Allah akan kirimkan hadiah kepadanya berupa tetamu, yang datang membawa rezekinya dan kembali pula dengan rezekinya. Sedangkan ahli rumah yang datangi itu telah Allah ampuni. ”
C) Jabir ra berkata:
“Sesiapa yang menyembelih ternakannya untuk menjamu tetamunya, maka ternakan itu akan menjadi penebus dosanya dari api neraka. ”
D) Telah bersabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia bermurah hati terhadap tetamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia mem-perhubung tali kerabatnya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau dia mendiamkan diri. ”
-Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra
BAHAGIAN 5:PENYATUAN MANUSIA SEJAGAT
Bersatu bermula dari kesatuan hati. Hanya hati yang baik sahaja yang mudah untuk di satukan. Hati yang baik memiliki segala sifat yang baik seperti sabar, merendah diri, pemaaf, pemurah dan berlapang dada. Untuk memilikinya, kita mesti merasakan diri kita hamba Allah dan sentiasa membesarkan Allah. Inilah di katakana iman.
Untuk memiliki hati yang baik ialah dengan melakukan latihan melawan nafsu atau mujahadatunnafsi. Proses mujahadatunnasi ini terbahagi kepada tiga:
A) Takhalli
Mengosongkan atau membuangkan hati dari sifat yang keji yang di larang oleh Allah. Hendaklah kita membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh daripada diri kita. Sekiranya tidak, nafsu itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita. Kalau hati ingin mengujudkan permusuhan sesama manusia, kita jangan ikutkan kata hati itu.
B) Tahalli
Mengisi atau menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji iaitu sifat mahmudah. Di antara sifat-sifat yang patut ada ialah jujur, ikhlas, tawadhuk, amanah, taubat, bersangka baik, takutkan Allah, pemaaf, pemurah, syukur, zuhud, bertolak ansur, redha, sabar, rajin, berani, berlapang dada, lemah lembut, berkasih sayang dan lain-lain lagi.
C) Tajalli
Hasil dari mujahadah dalam takhalli dan tahalli, seseorang akan merasa lapang, tenang, dan bahagia. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak, dan terasa kehebatan Allah. Ingatan dan rindu penuh teruja pada Allah. Harapan dan pergantungan tiada pada yang lain lagi selain daripada Allah semata-mata. Apa sahaja masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia. Tiada apa pun kesusaahan dalam hidupnya sebab semua itu dirasakan pemberian daripada kekasihnya, Allah SWT.
Iman Asas Perpaduan
Dalam usaha untuk menegakkan satu masyarakat yang bersatu padu, kukuh dan harmoni sebagaimana yang telah ditegakkan oleh baginda Rasulullah SAW di zaman kemuncak kegemilangan Islam. Usaha-usaha perlulah di buat ke arah:
A) Pembinaan iman yang sempurna.
Di antara sifat-sifat orang yang beriman Ayan ini ialah hatinya sentiasa mengingati Allah, sentiasa memikirkan ciptaan Allah dan sentiasa merasa dirinya diawasi oleh Allah. Cetusan daripada iman ini akan timbullah dalam hatinya rasa malu terhadap Allah, rasa hebat terhadap Allah, rasa syukur kepada Allah, rasa tawakkal kepada Allah, rasa kasih sayang kepada Allah, rasa sabar terhadap ujian-ujian Allah.
B) Menjalin ukhwah yang kuat.
Setiap anggota masyarakat perlulah bertanggungjawab untuk membina ukhwah, menjalin hubungan baik dan memenuhi hak-hak orang lain di atas diri dan memenuhi hak-hak orang lain di atas diri kita sendiri. Kita perlu berkorban bersungguh –sungguh dalam membina dan mengukuhkan ukhwah.
C) Kesefahaman dan keselarasan.
Kesefahaman dan kelarasan ini penting agar setiap anggota masyarakat itu bertindak sama dalam berbagai hal kemasyarakatan dan pengamalan syariat. Setiap anggota masyarakat mesti bertindak sama agar ada keselarasan dalam masyarakat. Bila anggota masyarakat menuju ke arah yang sama, perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat boleh di bendung.
Konsep bersatu dalam Islam
Pengertian Bersatu ialah bersatu lahir dan batin (jiwa dan akal) yang diikat oleh satu keyakinan (sama ada keyakinan pada ideology, agama atau lainnya) serta diikat oleh rasa kesefahaman dan keselarasan.
Bersatu di dalam Islam ialah bersatu lahir dan batin yang diikat oleh rasa atau keyakinan pada Rukun Iman serta rasa kesefahaman di dalam syariat dan keselarasan dalam bertindak.
Umat Islam mesti bersatu dalam:
A) Aqidah
Aqidah yang hanya benar di sisi Allah ialah aqidah ahli sunnah wal jamaah. Hadis Nabi SAW:
“Umatku akan berpecah kepada 73 firqah. Kesemuanya masuk neraka kecuali satu. Iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. ”
Fahaman Syiah, Muktazilah dan Khawarij secara jelas tidak masuk dalam senarai iqtiqad yang lain, perpecahan akan timbul kerana fahaman yang berbeza ini.
B) Menegakkan Hukum
Hukum yang wajib diterima sebagai wajib dan sama-sama mengamalkannya. Yang sunat sama-sama diterima sebagai sunat dan sama-sama cuba mengamalkan. Perkara yang haram sama-sama diterima sebagai haram dan sama-sama meninggalkan. Yang makruh diterima sebagai makruh dan sama-sama pula cuba ditinggalkan. Perkara –perkara yang harus, sama-sama mengatakan harus dan cuba diamalkan sebagai ibadah kepada Allah.
Hukum Allah juga hendaklah ditegakkan dalam usaha membangunkan masyarakat. Dimulai dengan menegakkan hukum Allah dalam diri kemudian keluarga, rumahtangga, masyarakat, pergaulan, pendidikan, dakwah, ekonomi, perubatan, perbidanan, politik, dalam cara hidup harian, dalam kenduri kendara, dalam perusahaan makanan dan pakaian dan lain-lain bidang.
C) Tegakkan makrufat
Makrufat atau perkara-perkara baik mesti di tegakkan setiap masa oleh setiap individu. Jika setiap anggota masyarakat bersama-sama menegakkan makrufat setiap ketika walau di mana berada, barulah masyarakat itu boleh bersatu dalam kebaikan. Tetapi kalau ada yang tegakkan makrufat dan ada yang tidak, mustahil masyarakat itu boleh bersatu.
D) Benteras kemungkaran
Kemungkaran mesti di benteras bersama-sama. Jika berlaku kemungkaran dalam masyarakat hendaklah sama-sama mengembelingkan tenaga membenteras kemungkaran itu. Ia tidak boleh di benteras oleh seorang dua anggota masyarakat sahaja sedangkan yang lain bersikap mendiamkan diri.
E) Mengenal kawan dan usaha berbaik
Kesemua anggota masyarakat mesti mengenalpasti siapakah kawan di dalam bermasyarakat. Kawan bukannya orang-orang yang sekepala dengan pemikiran dan nafsu kita. Tetapi yang sama-sama cinta kepada Allah dan agama Islam. Kita mesti sepakat menerima kawan sebagai kawan dan usahakan berbaik dengan mereka.
F) Mengenal musuh dan sama-sama menentang.
Setiap individu mesti mengenal pasti musuh-musuh yang berada di kalangan anggota masyarakat dan menentang mereka. Kita mesti sama-sama menerima mereka sebagai musuh bukan sebagai kawan.
KESIMPULAN
Persaudaraan dan perpaduan yang kuat dalam sebuah masyarakat mesti di mulai dengan membina iman dalam diri setiap umat manusia. Bila hati gersang dari iman, manusia akan hidup mengikut kemahuan hawa nafsu dan petunjuk dari syaitan. Allah di ketepikan.
Iman adalah pendorong utama untuk manusia melahirkan seberapa banyak kebaikan, mengutamakan hak orang lain dari diri sendiri, berkasih sayang dan bertolong- Bantu sesama manusia. Hati yang baik akan mampu bertolak ansur jika berhadapan dengan pergeseran dan pertelingkahan sesama jiran dan sahabat dalam hubungan seharian.
Oleh itu, peliharalah bersama hubungan kemasyarakatan kerana ia bukan satu peraturan Allah yang sempit. Bahkan memberi peluang yang lebih luas untuk kemaslahatan umat Islam sejagat.
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206,
011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com