Strategi Dan Prinsip Asas Peperangan

Oleh: Muhammad Rusdi Bin Sulaiman

Abstrak
Muhammad s.a.w dilahirkan yatim, bekerja sebagai pengembala kambing semasa kanak – kanak dan kemudiannya menjadi pedagang. Baginda tidak pernah mempelajari seni, kemahiran malah tidak pernah mengetahui selok – belok dan helah peperangan. Tetapi dengan kebijaksanaan baginda, musuh – musuh baginda yang menyerang Madinah dapat dikalahkan baginda ditambahkan dengan kekuatan iman tentera – tentera Islam. Seperti dikatakan tadi, baginda tidak pernah mempelajari ilmu peperangan. Tetapi dengan akal fikiran baginda, Rasulullah dapat menyusun strategi yang paling baik untuk menghadapi musuh. Ini ditunjukkan di dalam setiap bab tugasan saya ini.

Di dalam bahagian Strategi dan Prinsip Asas Peperangan, strategi – strategi yang digunakan Rasulullah dipersetujui keberkesanannya oleh pakar taktikal perang dari Barat dan terus digunapakai sehingga kini. Muka surat ini menunjukkan setiap elemen yang diperlukan untuk meningkatkan keberangkalian sesebuah pasukan untuk menang dalam pertempuran.

Bahagian Kepimpinan dan Kesatuan Arahan menerangkan bagaimana pemimpin atau panglima perang amat memainkan peranan di medan perang. Kita dapat melihat yang Rasulullah mempunyai kesemua sifat – sifat pemimpin yang sejati dan ketua ketenteraan semulajadi walaupun tiada ilmu peperangan.

Dalam bahagian Serangan pula, memaparkan tentang kepentingan pasukan serangan tentera Rasulullah serta pasukan – pasukan yang diperkenalkan Rasulullah. Keberkesanan pasukan Sariyah, Ghazawat, Unit Komando dan Pengintipan mendatangkan impak yang sangat besar di dalam setiap peperangan.

Bahagian Gerakan/Mobiliti dan Elemen Kejutan membincangkan tentang bagaimana strategi – strategi yang digunakan oleh Rasulullah dalam menghadapi musuh. Baginda sentiasa memasukkan elemen – elemen kejutan dalam setiap serangan untuk melemahkan dan mengalahkan pasukan musuh yang tidak bersedia.

Bahagian Moral dan Psikologi pula, membincangkan tentang bagaimana mentaliti juga memainkan peranan dalam sesuatu peperangan. Baginda telah menaikkan dan menguatkan iman tentera – tentera baginda dengan ajaran Islam yang sebenar dan menjanjikan bantuan dan ganjaran dari Allah s.w.t.

Didalam bahagian terakhir, Geografi dan Bentuk Muka Bumi, memaparkan tentang kepentingan menguasai kawasan – kawasan strategik di medan perang untuk meningkatkan moral dan peratusan pasukan untuk menang. Kita diperlihatkan bagaimana kebijaksanaan Rasulullah ditambah dengan geografi kawasan dan kepantasan tentera Islam dapat mengalahkan pasukan musuh yang datang dengan jumlah yang lebih besar.

Pendahuluan

Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang unggul dalam semua lapangan hidup dan risalahNya, menjadi sumber bimbingan kepada seluruh manusia. Kedua-duanya adalah petunjuk abadi kepada seluruh manusia dalam perjuangan untuk mendapatkan kebahagiaan di dalam kehidupan moral, rohani dan kemasyarakatan.

Didalam firman Allah s.w.t ada menyatakan bahawa akhlak Rasulullah dan pendiriannya jauh mengatasi semua makhluk. Beliau mempunyai sifat yang mulia dan disifatkan umpama permata yang menerangi kegelapan dengan akhlaknya yang bersinar. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat. “(Surah Al-Ahzab, 33:21)

Ini menunujukkan bahawa hidupnya adalah sebenarnya menjadi contoh teladan tetapi hanya kepada orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan mengharapkan rahmat dan hidayahNya di Hari Perhitungan nanti sahaja iaitu bagi orang yang ingin membersihkan hidup mereka dari dosa dan mungkar ke jalan Ma’ruf. Untuk mereka yang tidak mengambil peringatan tentang hari akhirat dan ditelan oleh kehidupan yang menyeronokkan di dunia ini, mereka tidak akan mendapat manfaat dari contoh yang mulia dari Rasulullah s.a.w.

Semenjak dari awal kerasulan Rasulullah s.a.w, baginda telah menunjukkan sifat – sifat yang terpuji dan mulia. Baginda bukan saja seorang peniaga yang jujur dalam perniagaannya, malah baginda adalah suami dan bapa yang sangat menyayangi isteri dan anak-anak baginda. Bukan itu saja, baginda juga merupakan Ketua Negara di Madinah dan menjalani tugas sebagai hakim, ketua pentadbir, panglima perang, dan pendidik. Oleh itu, baginda mempunyai pengalaman yang luas dalam berbagai – bagai permasalahan dan kehendak manusia. Kita adalah kaum yang sangat beruntung kerana baginda telah meninggalkan sirah yang lengkap untuk kegunaan generasi muslim yang akan datang. Ianya meliputi semua bidang kehidupan ; akhlak, rohani, ekonomi, sosiologi, sains, pendidikan dan politik. Baginda menunjukkan cara hidup yang sederhana, dipenuhi dengan kerahmatan, keadilan, dan kejayaan di dunia.

Dalam ringkasan saya tentang buku “Muhammad : Panglima Tentera”, ada menerangkan tentang strategi-strategi Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan risalah Allah s.w.t ke serata Tanah Arab dan seterusnya ke seluruh dunia. Antara salah satu strategi baginda adalah menerusi peperangan dan penaklukan kawasan – kawasan sekitar. Dalam ringkasan ini juga, kita dapat lihat kebijaksanaan baginda dalam mengatur strategi untuk mencapai kemenangan di dalam peperangan tanpa mengorbankan nyawa yang melampau.

Pengenalan

Keamanan adalah dasar kepada kehidupan di dalam Islam sementara peperangan hanyalah satu perkara keperluan, iaitu apabila tiada jalan alternatif. Ini dapat diertikan sendiri oleh maksud Islam itu sendiri iaitu ‘damai’ dan juga penyerahan dan kepatuhan kepada perintah Allah, yang merupakan Pencipta, Pemilik dan Penguasa seluruh Alam. Didalam Al-Quran, Allah ada berfirman :

“Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu, iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu sebab yang benar. Demikian itu yang diperintahkan oleh Tuhanmu kepadamu supaya kamu memahaminya. “
(Surah Al An’aam: 151)

Ayat ini menekankan soal kesucian nyawa manusia di dalam Islam, kerana ianya adalah amat perlu bagi keselamatan dan perlindungan nyawa manusia. Lantaran itu, kedamaian merupakan prinsip asasi di dalam Islam, kerana ia menyediakan peluang kepada manusia untuk hidup di dalam keselamatan dan keamanan, sebagai syarat asas kepada perlindungan nyawa manusia.

Mengapa Islam membenarkan Peperangan

Nyawa seseorang adalah suci dan Islam memeperjuangkan keamanan sebagai prinsip asasi kehidupan.Namun begitu, ada juga di kalangan manusia yang melampaui batas-batas etika dan moral menceroboh hak-hak orang lain. Apabila terdapat manusia yang sedemikian yang mencetus huru – hara dan berusaha menghapuskan manusia yang tidak seagama dengan mereka, maka peperangan bukan sahaja dibolehkan, malah diwajibkan ke atas orang Islam. Inilah caranya bagaimana peperangan berlaku dalam Islam - iaitu untuk mengekalkan syarat – syarat keamanan dan ketertiban agar manusia dapat hidup dengan aman dan dapat mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut ataupun paksaan.

Sepanjang hayat Rasulullah s.a.w, baginda telah beberapa melancarkan peperangan dan penaklukan di kawasan sekitar Madinah dan Tanah Arab. Kempen – kempen tersebut bukanlah atas dasar suka – suka atau hanya untuk meluaskan kuasa, tetapi ia adalah untuk tujuan ke Jalan Allah dan menyebarkan Agama Islam ke serata Semenanjung Tanah Arab dan seterusnya ke seluruh dunia. Baginda juga telah melalui banyak peperangan untuk mempertahankan sahabat – sahabat baginda serta kota Madinah dari ancaman musuh – musuh umat Islam, terutamanya Kaum Quraisy di Mekah dan puak-puak Yahudi di sekitar Madinah.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, Rasulullah memang ada mengangkat senjata, iaitu untuk mempertahankan Islam dan tidak untuk memaksa manusia kepadanya. Logiknya, bagaimana Islam dapat bertahan daripada serangan dan pencerobohan musuh yang datang dari pelbagai sudut jika ia tiada alat untuk mempertahankan diri?

Strategi dan Prinsip – Prinsip Asas Peperangan

Strategi di dalam istilah ketenteraan merujuk kepada penggunaan praktikal kesemua sumber – sumber negara yang ada di dalam mencapai matlamat melalui jalan ketenteraan. Jika sesuatu konflik berlaku, jalan penyelesaian melalui peperangan adalah jalan terakhir yang boleh diambil jika penyelesaian secara baik tidak dapat mencapai matlamat. Elemen – elemen dalam membentuk strategi peperangan amat penting, bukannya pergi berperang dengan membabi - buta.

Clausewitz, seorang pengkaji taktikal peperangan, menyatakan terdapat beberapa faktor – faktor penting dalam sesuatu kempen peperangan, antaranya:
1. Offensive (Serangan)
2. Gerakan / Mobiliti
3. Kepimpinan
4. Kejutan
5. Moral dan Psikologi
6. Geografi / Bentuk Muka Bumi
7. Saiz Pasukan
Faktor ini juga telah disokong oleh pimpinan - pimpinan besar dunia dan dipersetujui oleh pakar – pakar ketenteraan. Sebenarnya, kesemua prinsip ini bukanlah baru kerana kesemua prinsip ini telah di guna pakai sejak zaman Rasulullah malah ada yang di perkenalkan oleh Baginda sendiri dan terbukti berkesan sepanjang zaman hasil kebijaksanaan baginda.

Kepimpinan dan Kesatuan Arahan

Kesatuan arahan memerlukan daya juang dan kesanggupan kerjasama dari semua peringkat angkatan tentera di dalam perlaksanaan rencana peperangan. Kepentingan prinsip ini disimpulkan oleh British Field Service Regulations’ dengan cara yang berikut : “Adalah hanya dengan kerjasama yang berkesan yang memungkinkan bahagian – bahagian dari satu pasukan atau negara membina dan menggunakan kekuatan yang mereka miliki sepenuhnya. Untuk membolehkan kerjasama ini berkesan, setiap orang atau bahagian harus mengetahui kebolehan dan kekurangan bahagian yang lain dan mengemukakan pengetahuan mereka di dalam mendapatkan dan memberikan bantuan. Kerajasama haruslah dicapai bermula daripada tahap perancangan politik dan strategik yang tertinggi sehinggalah kepada unit dan sub-unit angkatan tentera yang paling kecil. “

Kejayaan operasi ketenteraan amatlah bergantung kepada kualiti pimpinan ketenteraan. Bagaimana seorang pimpinan memastikan faktor – faktor ini di dalam strategi dan operasi ketenteraannya dan yang lebih utama melakukan ini sebelum dan lebih baik dari musuhnya. Tidak diragui lagi bahawa elemen – elemen ini secara berkesan dan berjaya memerlukan pimpinan yang memiliki sifat – sifat utama yang luar biasa; pemimpin yang dapat menghadapi segala keadaan dengan kemahiran dan kebijaksanaan, yang meningkatkan semangat juang tentera, yang dapat mengekalkan suasana tenang walaupun pasukannya dalam keadaan yang genting selain mampu memikirkan jalan penyelesaian dengan cepat dan tepat.

Untuk memimpin angkatan tentera atau menjadi pemimpin, seseorang itu mestilah mempunyai kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin yang berwibawa. Antara kualiti pemimpin yang ada pada Rasulullah adalah;
o Keberanian dan kecekalan – Baginda adalah seorang yang sangat berani untuk menegakkan agama Islam di rantau Arab dan beliau tidak pernah lari dari medan perang tanpa sebab. Baginda sentiasa berada di barisan yang paling hadapan di medan perang dan menaikkan semangat pejuang – pejuang Islam. Ada pada ketika, khabar angin tentang Bani Quraisy telah berkumpul di luar Madinah, siap sedia untuk menyerang Madinah, telah tersebar. Baginda sendiri telah menunggang seorang diri keluar untuk menyiasat tetapi pulang dengan berita bahawa tiada sebarang bahaya.
o Penguasaan diri – Ramai manusia yang berani, hilang pertimbangan lalu panik lantas menyerah kalah akibat tekanan peperangan. Tetapi Rasulullah tetap dapat menguasai diri baginda di dalam semua keadaan.
o Kesabaran dan ketahanan – Rasulullah telah menghadapai 13 tahun yang amat memeritkan di Mekah tetapi Baginda tetap sabar menempuh segala musibah tanpa sebarang rungutan dan mengeluh.
o Keadilan – Rasulullah melayan semua manusia dengan adil. Apabila masjid pertama dibina di Madinah, baginda bekerja sebagaimana orang lain dan baginda mengorek parit bersama – sama sahabat di dalam perang Khandak, sebagai contoh.
o Keperibadian – Rasulullah memiliki peribadi yang mulia, amat menarik menyebabkan kesemua sahabat mengasihi baginda lebih daripada setiap perkara di dunia. Ketika muda, baginda telah digelar orang – orang Quraisy, Yang Benar (as - Sadiq) dan Yang Amanah (Al - Amin).

Serangan

Dalam sesuatu peperangan, serangan adalah amat penting. Seranganlah yang menentukan kemenangan atau kekalahan sesuatu pihak. Tetapi serangan yang membabi – buta boleh menukarkan kemenangan kepada kekalahan. Setiap serangan itu perlulah dirancang dengan teliti untuk menyesuaikannya dengan kekuatan pasukan, mobiliti, geografi kawasan serta kekuatan musuh.

Didalam setiap peperangan, Rasulullah telah merancang dengan teliti sebelum menghantar tentera baginda untuk berperang. Beberapa pasukan dengan tugas – tugas khas telah ditubuhkan untuk membantu di dalam peperangan selain angkatan tentera yang lengkap bersenjata sendiri. Antaranya adalah pasukan pengintip, peronda, dan beberapa pasukan dengan tugas ala – ala komando. Tugas – tugas setiap pasukan adalah seperti nama pasukan tersebut.

Pasukan Pengintipan

Mereka ini terdiri daripada umat – umat Islam yang berada di sekitar Madinah, dari puak – puak yang berlainan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan mereka menyamar dan menyusup masuk ke dalam pasukan musuh lantas mengorek strategi – strategi peperangan pihak musuh. Ada ahli – ahlinya yang ditugaskan untuk menyebarkan propaganda – propaganda untuk memecahbelahkan sekutu – sekutu pihak musuh dengan menyematkan rasa takut dan ragu – ragu di kalangan sekutu – sekutu mereka.

Pasukan tempur

Mereka ini telah dilatih ala – ala komando untuk menjalankan misi yang sangat sukar. Mereka telah dihantar oleh Rasulullah untuk membunuh pemimpin – pemimpin musuh dan individu yang sangat aktif memerangi umat Islam. Dengan cara ini, musuh menjadi kucar – kacir dan panik setelah ketiadaan pemimpin mereka.Mereka ini juga telah ditugaskan untuk membunuh ketua – ketua tentera sekutu musuh.

Pasukan Peronda

Pasukan ini ditubuhkan untuk menjaga kewibawaan negara Islam di daerah sekitar. Setelah Madinah dapat menguasai daerah – daerah sekitar, terdapat beberapa puak di sekitar yang berada di bawah penguasaan Madinah yang mencetuskan masalah dan menimbulkan huru – hara serta menyerang penduduk di kawasan sekitar. Lantas, pasukan ini ditubuhkan Rasulullah bagi membasmi masalah yang timbul.Pasukan ini dipanggil Sariyah dan Ghazawat. Setiap ketua pasukan ini dilantik sendiri oleh baginda dari kalangan sahabat – sahabat baginda. Mereka ditugaskan untuk membasmi atau mengadili kaum – kaum yang membuat onar. Antara dua contoh ekspedisi – ekspedisi tersebut;

Sariyah Al Jamum – Apabila Rasulullah menerima laporan yang Bani Sulaim sedang menyusun kekuatan untuk menyerang Madinah, baginda mengutuskan pasukan di bawah pimpinan Zaid Bin Harithah untuk menghalang mereka. Pasukan Zaid telah menyerang mereka dan membunuh 10 daripada mereka serta yang lain telah ditawan. Zaid telah membawa tawanan dan unta serta kambing mereka ke Madinah. Rasulullah kemudiannya membebaskan tawanan tersebut.


ariyah Fadak – Satu laporan diterima yang mengatakan bahawa Bani Sa’d b Bakr dengan bantuan orang – orang Yahudi sedang mengumpulkan kekuatan untuk menyerang Madinah. Oleh itu, satu pasukan seramai 200 orang anggotayang dipimpin oleh Ali bin Abi Talib. Ali mara dengan berhati – hati pada waktu malam dan bersembunyi pada siang hari. Mereka berjaya mengejutkan pasukan musuh dan musuh telah lari meninggalkan harta dan unta mereka.

Gerakan/Mobiliti dan Elemen Kejutan

Kecekapan dan kepantasan dalam perlaksanaan rangcangan peperangan adalah sangat penting dan sebarang kelengahan akan menghilangkan kelebihan malah memungkinkan kekalahan. Kecekapan maksima amat diperlukan semasa menentang musuh yang lebih besar, samada dari segi anggota ataupun kelengkapan. Kepantasan dan mobiliti membolehkan pasukan memaksa pertembungan dengan musuh pada tempat dan masa yang tidak diduga. Oleh itu, amat perlu bagi setiap operasi ketenteraan dilaksanakan dengan kepantasan dan mobiliti.

Raslullah amat mengambil berat tentang teknik di dalam operasi – operasi ketenteraan baginda dan sering memeranjatkan musuh dengan memerangkap mereka dalam keadaan yang tidak bersedia. Sebagai contoh, di dalam peperangan Badar, baginda telah menempuh jalan yang sukar, melalui pergunungan dengan pantas dan sampai ke lembah Badr sebelum musuh lantas menguasai kedudukan – kedudukan strategik di kaca mata ketenteraan.

Dalam peperangan Uhud, kepantasan dan pergerakan rahsia Rasulullah benar – benar telah mengejutkan musuh. Baginda memilih jalan sukar melalui gunung – ganang dan maju dengan pantas sehingga baginda muncul di hadapan musuh yang menjangkakan baginda akan mara dari arah yang lain di mana mereka telah bersedia dengan pasukan berkuda untuk menyerang. Demikian juga, kepantasan telah membantu meletakkan Rasulullah di kedudukan yang baik di dalam peristiwa Hudaibiyah.

Moral dan Psikologi

Moral ialah satu keadaan fikiran dan ia bergantung kepada faktor – faktor psikologi yang dipengaruhi oleh tahap pendidikan terutamanya agama, kepercayaan serta keyakinan yang teguh akan kebenaran tujuan yang diperjuangkan oleh seseorang.

Rasulullah mendidik pengikut baginda bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta, Pemilik dan Pemerintah mereka dan berkuasa ke atas semua perkara. Pengetahuan bahawa kematian di jalan Islam menjamin kehidupan bahagia yang abadi di sisi Allah bertindak sebagai satu dorongan dan penaik semangat kepada pejuang – pejuang Islam di dalam peperangan.

Rasulullah juga telah menyemarakkan semangat para sahabat dengan memuji keutamaan dan kemuliaan syahid. Abu Qatadah menyatakan bahawa sedang Rasulullah duduk bersama – sama mereka, tiba – tiba baginda bangun dan menyatakan bahawa berjuang di jalan Allah dan beriman kepadaNya adalah amalan yang paling mulia. Seorang lelaki bangun dan bertanya, “Terangkan kepadaku wahai Rasulullah, apakah jika aku terbunuh di jalan Allah, dosa – dosaku akan diampunkan?”. Rasulullah menjawab, “Ya, jika kamu terbunuh di jalan Allah, bersabar, mengharapkan ganjaran dari Allah s.w.t, mara dan tidak berundur”. (Muslim)

Moral pengikut – pengikut Rasulullah yang tinggilah yang amat memainkan peranan di atas kejayaan baginda di banyak peperangan yang baginda lalui sepanjang sepuluh tahun di Madinah. Di dalam semua peperangan ini, - di dalam peperangan Badr, nisbahnya ialah 3:1, peperangan Uhud,4:1, dan peperangan Ahzab,4:1. Walaupun dengan bilangan yang sikit dan ditambah pula dengan sistem persenjataan yang kurang lengkap, baginda mempengaruhi psikologi mereka dan menyuruh mereka bersabar lantas mengembirakan mereka dengan menjanjikan pertolongan Allah s.w.t.

Geografi dan Bentuk Mukabumi

Di dalam mana – mana peperangan, faktor geografi menjadi sangat penting. Kadang kala ia mempengaruhi keputusan akhir peperangan tersebut. Ia bukan sahaja tentang medan peperangan, ia juga merangkumi tapak untuk menjadikan kubu sebagai tempat pertahanan di sesebuah medan pertempuran.

Didalam sejaraha peperangan baginda Rasulullah, kebijaksanaan dan kepantasan baginda membolehkan pasukan Rasulullah menewaskan pihak musuh dengan menguasai kawasan – kawasan strategik di medan perang.

Sebagai contoh, di dalam peperangan Uhud,baginda telah menempatkan pasukan pemanah baginda di atas bukit Uhud yang membentuk satu lereng di antara bukit – bukit tersebut. Ini membolehkan pasukan pemanah tersebut menyerang hendap musuh dalam keadaan tidak bersedia. Strategi baginda terbukti berkesan sehinggalah berlaku sedikit kesilapan dari pasukan pemanah itu sendiri.

Penutup
Alhamdulillah berkat kurnian-Nya saya berjaya menyiapkan tugasan yang diberi oleh Ustaz Abdul Aziz. Segala yang saya ungkapkan dalam penulisan ini adalah hasil pemerhatian saya dan pembacaan saya terhadap buku bertajuk “Muhammad ; Panglima Tentera” tersebut. Tiada manusia biasa yang sempurna, oleh itu pasti akan ada kesilapan yang dipertikaikan umum hasil penulisan ini. Saya memohon jutaan kemaafan jika ada yang kurang senang dengan penulisan ini tetapi ini adalah pendapat peribadi saya yang saya luahkan menerusi naskhah ini.




************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com