Oleh: Amylia Farah Dillaedayu Bt Mazuki
PENDAHULUAN
Segala puji bagi Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Selawat dan salam keatas Nabi Muhammad s.a.w. , keluarga, pensyarah dan sahabat handai yang banyak membantu dalam menyiapakan tugasan ini. Amin ya ilahal ‘alamin.
Dan dengan rasa syukur yang tidak terhingga, akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang telah oleh pensyarah kami, Encik Abd. Aziz B. Harjin dengan baik tanpa apa-apa halangan.
Semoga tugasan yang telah saya siapkan ini, iaitu ‘Rumah Yang Tidak Dimasuki Syaitan’ dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada muslimin dan muslimat agar dapat menambahkan lagi ilmu di dada untuk menghadapi cabaran bagi meneruskan kehidupan di dunia ini serta mendapat keredhaan Allah SWT di akhirat kelak.
InsyaAllah.
Jika terdapat sebarang kesilapan, harap dimaafkan dan Ustaz dapat memberi teguran yang membina serta memberi lebih tunjuk ajar.
Yang baik itu datang daripada Allah SWT manakala yang buruk itu adalah kesilapan saya sendiri.
Wassalam.
SIFAT-SIFAT JIN
Jin merupakan makhluk yang dijadikan oleh Allah daripada api dan dapat menjelma dalam pelbagai bentuk serta rupa. Mereka juga seperti manusia iaitu makan, minum, berkahwin dan beranak. Tetapi mereka mempunyai kelebihan daripada manusia. Mereka dapat melihat manusia namun manusia tidak dapat melihat jin. Jin terbahagi kepada dua iaitu jin yang beriman kepada Allah dan jin kafir ataupun digelar sebagai ‘Syaitan’. Firman Allah :“Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas. ” (Q. S. Al. Hijr. ayat 27)
GOLONGAN-GOLONGAN JIN
Jin terbahagi dari pelbagai golongan seperti manusia. Contohnya ada yang berbuat baik dan ada yang berbuat jahat.
Rasulullah bersabda :“Allah menciptakan jin dalam tiga golongan. Pertama berupa ular, kala dan haiwan-haiwan bumi. Kedua berupa angina di udara. Ketiga golongan yang dikenakan hisab (perhitungan amal) dan siksa. Allah menciptakan manusia dalam tiga golongan pula. Golongan pertama seperti haiwan, golongan kedua tubunya berbentuk manusia sedang rohnya seperti roh syaitan dan golongan ketiga adalah golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya. ” (H. R. Ibnu Abiddun’ya)
Kesimpulannya, jin terdapat tiga kategori iaitu daripada haiwan, golongan yang bersayap terbang di udara dan golongan yang berpindah-randah. Manusia hendaklah sentiasa berwaspada terhadap haiwan tertentu terutama di waktu malam kerana jin dan syaitan boleh menjelma menjadi haiwan dan suka merayau pada waktu tersebut.
SIFAT-SIFAT SYAITAN
Dua pendapat mengenai syaitan :
Pertama : Lafaz syaitan itu diambil dari ‘syatana’ yang ertinya jauh. Oleh itu syaitan jauh untuk mendapat kebenaran dan rahmat Allah.
Kedua : Berasal dari lafaz ‘syaata’ iaitu terbakar.
Tugas syaitan ialah sentiasa mengoda dan mengajak manusia agar mengikuti nafsu dan syawatnya. Syaitan akan sentiasa menemani manusia. Oleh itu, orang yang terhindar dari godaan syaitan ialah orang yang dilindungi dan dijaga oleh Allah.
TIPU DAYA SYAITAN
Pada hari kiamat iaitu hari perhitungan amal, akan terjadinya pendebatan antara manusia dan syaitan. Manusia diciptakan akal untuk sentiasa berhati-hati dengan pujuk rayu syaitan dan merupakan permusuhan sejak zaman Nabi Adam lagi. Syaitan telah menghabiskan usianya untuk menperdayakan manusia setiap masa. Allah telah memberi amaran kepada manusia agar tidak lalai dengan tipu daya syaitan. Firman Allah :“Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan;kerana seseungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hnya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan kepada Allah apa yang tidak kamu ketahui. ” (Q. S. Al-Baqarah, ayat 168-169)
KISAH NABI MUSA DENGAN IBLIS
Ketika Nabi Musa sedang berada di majlis, tiba-tiba iblis datang dengan memakai baju yang dilabuhkan kepalanya. Setibanya dekat Nabi Musa, ia pun menanggalkan pakaiannya. Seterusnya iblis meninggalkan tiga peringatan kepada Nabi Musa a.s. Antaranya :
1. Janganlah seseorang lelaki itu berkhalwat atau berdua-duaan dengan perempuan yang bukan muhrim dengannya. Kerana di antara mereka akan ditemani oleh syaitan-syaitan sehingga boleh menimbulkan fitnah.
2. Apabila kita berjanji atau bernazar kepada Allah, iblis akan cuba menghasut kita. Iblis juga akan menghalang kita daripada memenuhi janji-janji kita terhadap Allah.
3. Janganlah kita sekali-kali bersedekah melainkan barang yang kita sayangkerana sedekah teresebut tidak akan diredhai oleh Allah s.w.t. Ini kerana para iblis telah menghalang kita untuk melaksanakan sesuatu kebaikan.
BENTUK-BENTUK TIPU DAYA SYAITAN
Syaitan akan terus berusaha untuk memujuk manusia melakukan kejahatan dan kemungkaran.
1. Syaitan memujuk manusia supaya terikut gengan tipu helahnya dengan membisikkan sesuatu kejahatan itu boleh membawa kemanfaatan. Hal ini akan menyebabkan manusia terheret ke jurang kehancuran.
Akibatnya, manusia akan menderita menanggung kesilapan tersebut manakala syaitan akan bergembira dengan kemenangan mereka.
2. Syaitan juga akan menakut-nakutkan orang mukmin yang ingin berjuang kejalan Allah. Akibatnya, manusia akan takut untuk berperang dan tidak mahu berjuang. Contohnya belajar, menyebarkan ajaran Islam, dan berdakwah.
Firman Allah : “Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut- nakutkan (kamu) dengan teman-temannya (orang musyrik Quraisy), kerana itu jangan kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang beriman. ” (Q. S. Ali ‘Imran, ayat 175)
CARA-CARA UNTUK MENGHALANG GODAAN SYAITAN
Untuk mengelak atipu helah dan godaan syaitan, kaum muslimin handaklah mengamalkan amalan di bawah :
- Membaca bismillah setiap kali memulakan sesuatu pekerjaan.
- Sentiasa berzikir dan beristighfar kepada Allah.
- Memperbanyakkan membaca ‘Laa ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzalimi’. (Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini termasuk orang yang zalim)
- Elakkan daripada tidur berseorangan dan jangan tidur di tempat yang tidak bersih.
- Sentiasa membaca doa pada waktu pagi dan petang.
- Menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu.
- Tidak mendengar muzik dan nyanyian yang melalaikan.
- Mengambil wudhuk, membaca ayat Kursi dan Muawwizatain sebelum tidur.
- Sentiasa membaca istiazah (a-uzu billahiminsya syaitanirrojim) dan membaca Al-Quran.
- Memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi s.a.w.
- Mengamal membaca doa ketika masuk tandas.
- Membaca surah Yasin setiap pagi.
- Berusaha meningkatkan dan menambahkan ilmu pengetahuan.
- Jangan melambat-lambatkan mandi hadas besar (haid, nifas atau junub) kecuali kerana uzur.
- Sentiasa memohon keampunan dan membaca doa perlindungan.
CARA SYAITAN MENAKHLUK HATI MANUSIA
Syaitan akan berusaha untuk menembus ke dalam hati manusia dengan pelbagai cara. Syaitan akan bersarang di hati manusia melalu pintu diantaranya :
- Marah. Marah merupakan bara api dari neraka. Syaitan akan mengambil kesempatan ketika kita sedang marah.
- Bodoh. Syaitan suka pada orang yang kurang pandai kerana mereka ini senang untuk diperdaya.
- Cinta akan dunia.
- Rakus. Kerana ia akan menyebabkan sifat tamak dalam diri.
- Bakhil. Merupakan pintu kehancuran
- Suka akan pujian.
- Takut dan gelisah menghadapi cabaran menunjukkan bahawa seseorang itu lemah imannya.
- Memandang rendah pada orang lain.
- Tidak takut akan pembalasan Allah.
- Tidak ambil peduli akan dosa yang dilakukan. Akibatnya manusia akan terus melakukan dosa sehingga ke dosa besar.
- Tidak percaya dan berputus asa dengan rahmat serta pertolongan Allah. Ini menyebabkan manusia tidak taku untuk terus melakukan dosa dan akan berterusan melakukan maksiat.
Syaitan suka berkeliaran di tempat yang senang untuk mereka menggunakan tipu helah mereka. Oleh itu, kita mestilah sentiasa menjaga keadaan sekeliling rumah kita supaya sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dariNya. Terdapat beberapa tanda-tanda rumah yang tidak dapat dimasuki oleh syaitan. Antaranya :
RUMAH YANG PENGHUNINYA BERSIH DAN BERZIKIR KEPADA ALLAH
1. Kebersihan
Islam merupakan agama yang suci dan bersih. Suci mengikut syarak ialah suci badan, pakaian, tempat dan yang penting ialah hati. Islam memerintah bersuci iaitu mandi junub, haid dan nifas. apabila kita hendak beribadat, kita hendaklah memastikan supaya diri kita dalam keadaan bersih terutama pada bahagian anggota badan. Selain itu, kita juga perlulah suci dari segi hati supaya tidak menyimpan perasaan yang tidak elok dalam diri kita. Kesimpulannya, Allah suka pada hamba-hamba yang suci pada zahir dan batin serta sentiasa bertakwa kepadaNya. Allah berfirman :“Seseungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan mencintai orang yang mensucikan diri” (Q. S. Al-Baqarah, ayat 222)
2. Zikir
Seseorang yang sentiasa berzikir dan berselawat ke atas Nabi Muhammad akan terhalang hatinya serta rumahnya daripada dimasuki oleh syaitan yang direjam. Dengan berzikir juga, seseorang mukmin itu akan diberi ketenangan hati dan menghalau godaan syaitan.
3. Doa-doa penting untuk mengelakkan dari gangguan syaitan. a. Mengamalkan membaca Bismillah setiap kali hendak masuk ke dalam rumah dan melakukan sebarang ibadat. b. Sentiasa membaca doa ketika masuk atau keluar dari rumah supaya dilindungi dari para syaitan ketika ketiadaan kita. c. Sentiasa membaca doa hendak tidur dan bangun dari tidur. selain itu juga, kita boleh berwuduk, membersihkan tempat tidur kemudian tidur mengiring sebelah kanan.
FAEDAH BERZIKIR KEPADA ALLAH
- Dapat menghalau dan mematahkan semangat syaitan.
- Dapat menghilangkan perasaan risau dan celaru dalam hati.
- Mendapat keredhaan dan kerahmatan dari Allah.
- Memberi kebahagiaan dalam hati dan melapangkan dada.
- Dapat mendekatkan diri kepada Allah
- Dapat meneguhkan hati dan menguatkan badan
- Menimbulkan rasa cinta dan kasih kepada Allah dan menjaga penglihatan.
- Mendatangkan rezeki yang halal.
- Menjaga lidah daripada mengumpat, berbohong, bercakap buruk dan sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. serta bercakap baik.
- Sentiasalah mengingati Allah. Firman Allah : “Ingatlah engkau kepada-Ku, maka aku akan mengingatimu. ”
RUMAH YANG PENUH DENGAN KEJUJURAN DAN MENEPATI JANJI.
Kejujuran amat penting dalam pergaulan antara manusia dan juga menunujukkan nilai peribadi seseorang. Rasulullah sentiasa bersikap jujur dalam apa jua perbuatan dan rumah baginda sendiri mengamalkan kejujuran. Rasulullah telah diberi gelaran sebagai “As-Sadiqul Amin” yang bererti orang jujur dan dipercayai.
Jujur Terhadap Allah
Kita hendaklah sentiasa mengingati beriman kepada Allah iaitu yakin dalam hati, beramal dengan anggota dan melakukan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Perjanjian antara manusia dengan Allah iaitu berjanji tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah. Oleh itu, ini akan membingungkan syaitan dan syaitan tidak dapat bersarang serta tidak dapat menggoda orang mukmin.
Jujur Terhadap Manusia
Cara hidup Islam yang diwajibkan ialah sentiasa berlaku jujur dan memenuhi hak manusia sehingga syaitan-syaitan tidak mungkin dapat bersarang di dalam rumah tersebut. Allah akan sentiasa melimpahkan keberkatan dan memberi perlindungan kepada ahli keluarga mereka. Allah juga akan telah menjadikan sikap menepati janji sebagai satu sifat baik yang dipanggil ‘al-abrar’ atau orang yang banyak berbuat baik. Firman Allah :“Dan orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya. ” (Q. S. Al-Mukminun, ayat 8)
RUMAH YANG PENGHUNINYA MENGEKALKAN SILATURRAHIM
Senjata untuk menghalau syaitan daripada memasuki ke dalam rumah ialah kita menegakkan dasar cinta kasih dan saling bermaafan. Selain itu, penghuninya juga perlulah mengekalkan silaturrahim untuk mendapat keredhaan Allah. Silaturrahim dapat dilakukan dengan memberikan harta, menziarahi yang sakit, memenuhi undangan, mengucapakan tahniah atau takziah dan tolong menolong.
- Allah memuji orang yang mengekalkan silaturrahim dan menyediakan pahala yang besar bagi mereka.
- Meringankan beban keluarga dengan membantu menyediakan keperluan mereka.
- Orang yang mengekalakan hubungan silaturrahim akan dimurahkan rezeki dan keberkatan hidup. Firman Rsulullah :“Barang siapa yang ingin dimudahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya oleh Allah, maka hendaklah ia menghubungkan saudara mara (mengadakan silaturrahim). ” (H. R. Bukhari dan Muslim)
- Hikmah mengamalkan sikap silaturrahim ini ialah ia kan memberi keuntungankepada semua pihak. Masyarakat akan hidup dengan aman damai dan saling menyanyangi satu sama lain.
- Rumah yang mengekalkan hubungan silaturrahim akan mendapat tempat mulia di sisi Allah. Ini kerana perkataan ‘rahim’ berasal dari satu salah nama Allah (Ar-Rahman)
Kesimpulannya, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim akan dijanjikan balasan di akhirat oleh Allah dan tidak mendapat tempat di syurga kelak.
RUMAH YANG PENGHUNINYA BERBAKTI KEPADA IBU BAPA
Rumah orang mukimin ialah rumah yang diterapkan dasar mentaati Allah, mentaati Rasulullah dan berbakti kepada ibu bapa. Ibadah yang dilakukan tidak akan sempurna jika kita menderhaka kepada kedua ibu bapa. Bahkan kita hendaklah berbakti dan menghormati kepada mereka supaya ibadah yang dilakukan diredhai Allah.
Cara Berbakti Kepada Ibu Bapa
Kita hendaklah sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita, memenuhi hak-hak dan keperluan mereka, mentaati mereka, menjauhi perkara yang boleh menimbulkan kebenciaan, melakukan perkara yang telah diredhai keduanya, mendengar cakap mereka, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka ketika mereka hidup ataupun sudah meninggal dunia, memuliakan teman-teman mereka, bersedekah untuk mereka dan lain-lain. Oleh itu, wajib kita berbuat baik kepada keduanya. Namun begitu, jika yang haram dihalalkan atau yang halal diharamkan, kita boleh untuk tidak mentaati suruhan mereka. Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa menderhaka kepada ibu bapa akan menyebabkan kerugian di dunia dan di akhirat. Selain itu juga, rumah tersebut akan sentiasa dikunjungi oleh para malaikat dan dipelihara daripada gangguan syaitan.
RUMAH YANG PENGHUNINYA MENJAUHI PERKARA-PERKARA
MUNGKAR
Sesetengah manusia ada yang menpertuhankan hawa nafsu dan menganggap dunia ini sebagai tempat untuk berhibur dan bersenang lenang. Mereka yang selalu dibuai dengan angan-angan, mereka itu berjalan melalui pintu gerbang syaitan dan akan terikut dengan tipu daya mereka. Merekalah orang yang lupa akan Allah dan Allah akan membiarkan mereka. Mereka yang mengingkari Allah juga akan Allah membelakangkan mereka.
Rumah tersebut akan menjadi tempat tinggal syaitan. Syaitan juga akan turut ikut berkongsi melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh penghuni rumah itu seperti makan, minum, tidur dan sebagainya. Oleh itu, kita hendaklah memastikan supaya rumah tersebut bersih daripada benda-benda yang kotor untuk mendapat rahmat, nur dan hidayah dari Allah.
Perkara-perkara yang perlu dielakkan ialah :
1. Bebas dari benda-benda yang berbentuk salib
Musuh-musuh Islam akan berusaha dengan pelbagai cara untuk menyesatkan orang mukmin pada zaman sekarang. Diantara usaha-usaha mereka ialah memasukkan pelbagai bentuk salib ke dalam rumah orang Islam tanpa disedari oleh orang Islam itu sendiri. Benda-benda salib disembunyikan ke dalam barangan perabot, permainan, pakaian, barang-barang perhiasan dan lain-lain.
2. Rumah yang penuh dengan gambar atau patung
Janganlah kita menghiasi rumah kita dengan gambar-gambar atau patung yang berbentuk manusia atau haiwan kerana semua benda tersebut akan mengundang syaitan untuk masuk ke dalam rumah kita. Allah mengharamkan gambar yang mempunyai bayangan (tiga dimensi seperti patung) dan yang tidak mempunya bayangan (dua dimensi seperti lukisan). Tetapi gambar yang mempunyai gambar-gambar alam seperti pokok-pokok, laut atau bukit bakau diharuskan. Rasulullah bersabda :“Sesangguhnya rumah yang terdapat gambar-gambar di dalamnya, tidak dimasuki oleh malaikat. ”
3. Malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing.
Selain itu juga, rumah seseorang mukmin perlu bebas dari anjing supaya syaitan tidak dapat masuk ke dalamnya. Ini kerana anjing seperti bayangan syaitan maka syaitan suka untuk tinggal di tempat yang ada bayangnya.
4. Jangan adakan loceng dalam rumah.
Loceng merupakan seruni syaitan yang digunakan untuk menimbulkan bunyi sedangkan Malaikat tidak suka pada loceng. Tetapi, terdapat juga orang mukmin yang menggantungkan haiwan mereka dengan loceng. Yang paling dikesalkan juga, banyak sekolah-sekolah yang menggunakan loceng untuk mengumumkan waktu kelas. Padahal itu semua bercanggah dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
5. Bersihkan rumah daripada hiburan dan judi.
Beberapa budaya Barat telah merebak masuk ke beberapa buah negara Islam. Namun begiti, yang mendukacitakannya sekolah dan rumah Islam ada yang mengadakan pendidikan muzik untuk anak-anaknya. Oleh itu, rumah seseorang mukmin hendaklah bersih dari semua itu dan membekalkan anak-anak dengan asas Islam yang sebenar. Selain itu, rumah mukmin juga perlu bersih dari segala bentuk judi seperti permainan atau catur. Ini kerana syaitan sedang berdiri dibelakang menghiasi perbuatan haram tersebut.
6. Rumah muslim mesti bersih dari arak.
Khamr (arak) adalah punca dosa besar, merosakkan otak dan akal, membazir harta, melalaikan manusia daripada beribadah, mengundang syaitan, memabukkan dan merosakkan badan. Ia termasuk najis yang ada dalam rumah. Orang Islam wajib menjauhi benda haram tersebut.
7. Jauhkan rumah daripada rokok dan bau yang busuk.
Islam memerintahkan pada setiap muslim supaya tidak memandang remeh tentang kebersihan rumah. Islam melarang merokok kerana merokok membahayakan kesihatan dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Seseorang yang selalu merokok juga akan mempercepatkan kerosakan jantung. Selain itu, kesan merokok juga boleh menyebabkan ketagih, susah untuk tidur, hidung dan tekak diserang racun nikotin dan merosakkan janin. Kesan yang lain ialah boleh melalaikan, mendatang bau yang tidak sedap pada mulut dan sebagai.
PENUTUP
Kesimpulan daripada tajuk ‘Rumah Yang Tidak Dimasuki Syaitan’ ialah kita dapat mengetahui kejadian jin, sifat-sifat mereka, golongan jin dan juga kita dapat mengetahui bahawa syaitan merupakan jin tetapi jin yang jahat. Kita juga boleh mengetahui kisah Nabi Musa dengan Iblis padda kettika dahulu, perjanjian iblis untuk memusnahkan umat Islam dan juga bentuk-bentuk tipu daya syaitan untuk mengesatkan orang mukmin. Selain itu, yang paling penting kita dapat mengetahui cara-cara untuk mengelak rumah kita daripada didiami oleh para syaitan. Antaranya ialah rumah yang penghuninya yang bersih dan sentiasa berzikir kepada Allah, rumah yang penuh dengan kejujuran dan menepati janji, rumah yang penghuninya mengekalkan sikap silaturrahim, rumah yang penghuninya berbakti kepada ibu bapa dan rumah yang peghuninya menjauhi perkara-perkara mungkar. Oleh itu, sama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada buku ini dan sentiasa melakukan perkara yang diperintahkan Allah dan meninggalkan laranganNya.
Wallahualam.
Sekian, terima kasih.
************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206,
011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com